Seulas Kata

image_pdfimage_print

Amanah Seorang Pendidik


Bismillahirrahmanirrahim.  Assalamualaikum

Warahmatullahi Wabarakatuh.  Segala puji-pujian dipanjatkan kepada Allah Subhanahu Wa Taala,

Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan nabi Muhammad S.A.W.

 

 

 

“SESUNGGUHNYA ALLAH MENYURUH KAMU SUPAYA MENYERAHKAN SEGALA JENIS AMANAH KEPADA AHLINYA (YANG BERHAK MENERIMANYA), AL-NISA’: 58”

Sabda Rasullullah s.a.w.     :  

 ألا لا إي مان ل من لا أمان ة ل ه

Ketahuilah! Tidak beriman bagi sesiapa yang tiada amanah. Riwayat Imam Ahmad

Ayat dan hadis di atas menyatakan bahawa amanah adalah satu kewajipan yang mesti ditunaikan. Perintah di sini wajib sebagaimana perintah-perintah yang lain seperti solat, puasa dan sebagainya. Amanah adalah cabang keimanan, seseorang yang beriman mempunyai sifat amanah dan sebaliknya pula orang tidak amanah itu menandakan kekurangan imannya. 

 

Satu pengorbanan yang besar amat diperlukan bagi melakukan perubahan dan amanah yang dipertanggung jawabkan oleh Allah SWT kepada kita, walaupun ianya mengambil masa yang lama untuk dilihat hasilnya. Justeru itu kita harus terus bergerak selari dengan Sistem Pendidikan Negara yang sedang melaksanakan satu transformasi berdasarkan PPPM 2013 – 2025.

 

Kesemua perubahan pendidikan ini bermula di sekolah. Oleh itu sewajarnyalah warga pendidik selaku pelaksana perlu menjalankan amanah ini ke arah kejayaan transformasi pendidikan negara. Pendidik merupakan peneraju dalam membangunkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan berkeperibadian mulia.  Situasi ini memerlukan warga pendidik lebih prihatin, komited dan mempunyai daya juang yang tinggi dalam mencapai sasaran-sasaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

 

Sebagai seorang pendidik, kita mestilah mempunyai persediaan rapi ke arah membentuk sahsiah anak didik untuk menjadi insan mulia.  Tujuannya adalah untuk melahirkan insan yang berilmu pengetahuan tinggi, mempunyai sahsiah terpuji dan berpendidikan agama.  Ingatlah bahawa, kita memegang AMANAH ALLAH, kerana telah dianugerahkan dengan pekerjaan yang amat mulia ini,  Jangan kita gadaikan AMANAH ini.

 

Saya menyeru semua guru dan staf Sekolah Kebangsaan Kayang, bersama-sama menggembleng tenaga dalam merealisasikan usaha seperti mana yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Segala cabaran dan halangan perlulah kita tangani dengan bijaksana seiring keazaman yang tinggi. Ingatlah, kita bukan hanya menggalas hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia, malahan memikul AMANAH ALLAH yang amat berat. Segala usaha murni kira akan dihitung di akhirat kelak.

 

‘Selamat Bertugas’

Salam 1 HALUAN SEHALUAN

 

SHAMSUL ARIFFIN BIN MOHD DIAH

Guru Besar

Sekolah Kebangsaan Kayang

1 JANUARI 2020

Share Button
Translate »